Friday, 30 December 2016

DUA2022 - PENGURUSAN DALAM ISLAM
NAMA JABATAN: JABATAN PERDAGANGAN
PROGRAM: DIPLOMA SAINS KESETIAUSAHAAN
NAMA PENSYARAH: PUAN WAN RUSWANI BT WAN ABDULLAH
AHLI KUMPULAN: NUR AFIFAH BINTI MUSLIM (02DSK16F1020)
SYAFIQAH AMNI NURQAIN BINTI ISHAMUDDIN (02DSK16F1056)
NURAFIFAH BINTI ABD GHANI (02DSKF16F1055)
KHALILAH ALYNA SYAZWANA BT HUSAIN (02DSK16F1050)
NURATHIRAH BINTI AHMAD SABKI (02DSK16F1072)
NUR IZZATI BINTI RAZI (02DSK16F1001)

PENGENALAN

Assalamualaikum selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Syukur kepada Ilahi kami masih diberi kesempatan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada kami.

Setelah dibicang bersama, tajuk yang perlu dibawa oleh kumpulan kami ialah Gangguan Seksual di Tempat Kerja. Melalui tajuk ini terdapat beberapa penerangan yang akan kami huraikan didalam blog ini.

APAKAH GANGGUAN SEKSUAL?

Gangguan seksual adalah satu perlakuan lucah yang dibuat dengan sengaja dan tidak dikehendaki, diundang atau diminta dan tidak direlakan oleh mangsa. Gangguan seksual merupakan suatu gangguan dan keadaan yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran waras manusia baik dari segi lisan, fizikal dan juga isyarat seksual. Gangguan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di pejabat, institusi pengajian tinggi atau kawasan perumahan kita sendiri. 

Gangguan seksual ini boleh dikategorikan sebagai suatu bentuk ancaman dan menyebabkan berlakunya persekitaran bekerja yang tidak selesa. Bentuk ancaman gangguan seksual ini boleh dikatakan suatu tingkah laku yang tidak sopan, berunsur seksual yang mana ia dijadikan sebagai satu syarat untuk seseorang itu menerima kenaikan pangkat atau kenaikan gaji dan juga kelebihan dan keistimewaan dalam syarikat. Manakala persekitaran bekerja yang tidak selesa pula di mana tingkah laku dan gerak badan pengganggu ini mengganggu dan menggugat fokus serta produktiviti para mangsa yang terlibat. Ini memberi kesan yang negatif kepada mangsa dan membuatkan mereka merasa tertekan dan terganggu. Akibatnya mangsa gagal memberikan mutu kerja yang terbaik kepada tugas mereka.

JENIS-JENIS GANGGUAN SEKSUAL



Gangguan seksual di tempat kerja terbahagi kepada beberapa jenis menurut kod amalan. Antara jenis-jenis gangguan seksual adalah gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat, gangguan secara visual, gangguan secara psikologi dan gangguan secara fizikal. Gangguan secara lisan merujuk kepada kata-kata, komen, gurauan, usikan bunyi dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual. Gangguan secara lisan adalah satu permulaan gangguan seksual. Contohnya, pengganggu seksual sering memuji mangsa dengan menyatakan mangsa mempunyai tubuh badan yang cantik dan pengganggu tersebut mengaku bahawa dia tergoda. Ini secara tidak langsung berlakunya gangguan seksual secara lisan. Gangguan seksual juga boleh berlaku secara isyarat ataupun bukan lisan. Ia seperti pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkah laku mengurat yang berterusan. Contohnya, si pengganggu seksual akan sentiasa memandang mangsa sehinggakan mangsa berasa tidak selesa dengan keadaan tersebut. Gangguan seksual secara visual pula adalah seperti menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual dan mendedahkan bahagian bahan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah. Contohnya si pengganggu menghantar mesej-mesej, video-video ataupun gambarnya sendiri yang berunsur lucah ke telefon pintar mangsa. Hal tersebut mengakibatkan mangsa berasa tidak selamat dan mengganggu ketenteraman mangsa. Gangguan secara psikologi seperti mengulangi jemputan sosial yang telah tidak diterima dan memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan. Pengganggu akan terus merayu untuk keluar bersama sehingga mencapai apa yang di mahukan. Dan akhirnya jika mangsa sudah tiada alasan untuk menolak pelawaan tersebut perkara yang lebih buruk dan tidak diingini mungkin akan terjadi seperti mangsa berkemungkinan akan dicabul. Gangguan seksual yang terakhir adalah gangguan secara fizikal. Gangguan fizikal merupakan gangguan yang paling meninggalkan kesan terhadap mangsa. Antara jenis-jenis gangguan fizikal adalah sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan serangan seksual. Gangguan fizikal boleh berlaku secara tidak sedar, contohnya si pengganggu seksual tersebut dalam keadaan bergurau telah menampar dan mencubit mangsa. Mangsa mungkin tidak sedar dan menganggapnya sebagai satu gurauan semata-mata. Tetapi si pengganggu seksual akan berasa puas dan ingin menyentuh di bahagian lain pula sekiranya perbuatannya tidak di tegah.



PUNCA

1. Tarikan fizikal dan personaliti yang menarik


Tarikan fizikal dan personaliti merupakan faktor utama berlakunya gangguan seksual terhadap wanita. Wanita yang berwajah cantik lebih cenderung di ganggu berbanding wanita yang kurang cantik. Selain itu, wanita yang berpakaian seksi, mempunyai potongan badan yang menarik dan berperwatakan moden  adalah lebih terdedah kepada gangguan seksual. Bagi sesetengah golongan wanita, keterampilan yang moden sering menjadi salah satu sebab mengapa perkara ini terjadi. Dengan penampilan yang moden dan perwatakan menarik ini menyebabkan mereka menjadi perhatian dan tarikan kepada rakan sekerja dan juga pihak atasan, dan ini akan menyebabkan berlakunya gangguan seksual kerana dianggap cuba menarik perhatian. 

Menurut, Fiske dan Glick (1995) telah membuat rumusan bahawa perawakan wanita yang menampakkan ciri-ciri tradisi kurang terdedah kepada gangguan seksual ini. Personaliti dan perawakan seseorang wanita itu menjadi faktor penarik kepada perlakuan gangguan seksual. Di samping itu juga, personaliti wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik juga boleh mempengaruhi persepsi orang ketiga terhadap perbuatan gangguan seksual. Menurut, Muchinsky (1997), aduan gangguan seksual yang dibuat oleh wanita yang kurang menarik perwatakannya berkemungkinan besar tidak akan diberi perhatian serius oleh Jabatan Personel berbanding dengan aduan yang dibuat oleh wanita yang berperwatakan menarik. Hal ini menyebabkan mangsa gangguan seksual yang berwajah cantik mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi kes saman berkaitan gangguan seksual  berbanding wanita yang tidak mempunyai wajah yang menarik.


2. Kuasa

Kuasa juga dilihat sebagai punca kepada gangguan seksual. Mengikut teori organisasi pula menyatakan bahawa gangguan seksual adalah disebabkan oleh faktor organisasi dan bukan peribadi. Struktur organisasi dalam sesebuah syarikat sering menempatkan lelaki dalam kedudukan yang lebih autoriti berbanding wanita. Hal demikian menyebabkan mereka cuba mendapatkan kepuasan secara seksual dari pekerja bawahan mereka. Oleh sebab kebanyakan hierarki di dalam organisasi lebih dimiliki oleh lelaki, ini menyebabkan gangguan seksual ini lebih terdedah untuk berlaku kerana golongan ini menggunakan kuasa yang ada pada mereka. Mereka menggunakan kuasa mereka dengan mengugut untuk tidak diberi insentif yang lebih baik jika tidak melayan atau menerima perlakuan yang dilakukan oleh mereka.



3. Pertandingan dan ego


Punca gangguan seksual juga berlaku kerana pertandingan, ego dan ketakutan kehilangan status kuasa. Lelaki akan bersikap ego apabila dicabar oleh rakan-rakan. Ini kerana, lelaki mahu dilihat hebat di mata lelaki lain. Hal tersebut akan menyebabkan mereka berkelakuan untuk mencabul mangsa dengan mencubit, membuat ancaman sama ada secara tersirat ataupun terbuka dan mengintip wanita tersebut. Bagi lelaki, pekerja wanita dilihat sebagai permainan untuk menarik perhatian lelaki. Mereka bertanding untuk menunjukkan dominasi dan akhirnya mereka menggunakan cara kekerasan untuk mencapai dominasi tersebut. Sekiranya mereka berjaya mereka akan berasa bangga dan puas.


4. Perbezaan hormon

Lelaki dan wanita mempunyai hormon yang berbeza. Mengikut teori biologi, gangguan seksual berlaku disebabkan oleh perbezaan hormon antara lelaki dan perempuan. Komponen hormon lelaki yang menyebabkan mereka mempunyai rangsangan seks yang lebih tinggi daripada wanita. Perkara tersebut akan menjurus mereka sehingga terlibat dalam tingkah laku yang bersifat gangguan seksual. Ia berlaku seolah-olah di luar kawalan pengganggu tersebut. Walau bagaimanapun, tingkah laku pengganggu tersebut berlaku secara tidak langsung dan secara tersembunyi. Ini tidak menampakkan berlakunya perkara yang tidak baik atau sumbang di khalayak ramai.


5. Komposisi lelaki dan wanita

Punca gangguan seksual juga boleh dilihat menggunakan teori demografi. Teori demografi pula mengutarakan bahawa ia berlaku kerana komposisi lelaki dan wanita di tempat kerja yang tidak seimbang. Perkara tersebut seterusnya merangsang gangguan seksual di tempat kerja. Sekiranya tempat kerja tersebut di dominasi oleh kaum lelaki, maka kaum wanita di tempat kerja tersebut akan cenderung mengalami gangguan seksual.


6. Sistem yang membezakan peranan lelaki dan wanita

Gangguan seksual ini berlaku disebabkan cara seseorang itu dibesarkan dalam sistem yang membezakan antara peranan lelaki dan wanita. Seperti di ketahui peranan lelaki dan wanita berbeza dan mempunyai garis pembahagi yang ketara. Lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Lelaki dipertanggungjawabkan dengan tugas yang lebih besar dan berat berbanding wanita. Sebagai contoh lelaki harus dipertanggungjawabkan untuk mengangkat barang-barang berat manakala wanita pula di tugaskan memasak dan kerja-kerja pembersihan. Perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa lelaki berkelakuan lebih agresif yang mana adalah biasa untuk berkelakuan sedemikian terhadap wanita. Hal ini kerana wanita hanyalah memainkan peranan sekunder sahaja. Selain itu juga, golongan lelaki menganggap golongan wanita adalah golongan yang lemah. Oleh sebab itu lelaki akan menindas golongan wanita dengan melakukan gangguan seksual.

KESAN

Gangguan seksual yang berlaku memberi kesan kepada mangsa dari segi fizikal dan mental. Kesan-kesan ini seperti dari segi kerjaya, peribadi dan juga persekitaran sekeliling. Dari segi kerjaya, mangsa lebih gemar mengasingkan diri dari rakan sekerja dan juga cuba mengelakkan diri dari hadir ke pejabat. Ini akan menjejaskan prestasi kerja dan juga berkemungkinan akan menyebabkan mereka kehilangan kerjaya tersebut. Kesan kepada peribadi pula di mana mangsa akan mengalami gejala seperti sakit kepala, gangguan tidur, hilang selera makan dan emosi yang tidak stabil. Mangsa juga merasa malu untuk berhadapan dan bergaul dengan orang sekeliling. Rasa ini timbul apa bila mangsa merasa rendah diri dan tidak layak berada bersama-sama orang lain kerana merasakan dirinya tidak berharga dan terhina. Mangsa juga akan merasa takut dan curiga terhadap keadaan sekeliling. Mereka merasa bimbang dan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak stabil jika terlihat orang tertentu, bayangan orang atau bentuk tubuh dan juga tempat tertentu. Mangsa juga menjadi ‘paranoid kepada setiap pergerakan sekelilingnya dan juga orang asing.  Mangsa juga akan mengalami trauma akibat daripada kejadian tersebut. Mangsa sukar untuk melupakan peristiwa tersebut dan ini mengganggu ketenangan, penumpuan dan juga kestabilan mental serta emosi mangsa. Penolakan masyarakat antara salah satu punca juga yang memberi kesan kepada mangsa. Ini di mana apabila masyarakat tidak dapat menerima perkara tersebut dan mereka di pulaukan. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, kejadian yang dialami mangsa harus lah dirahsiakan dari pengetahuan orang luar.

PENYELESAIAN

1) Polisi Gangguan Seksual

Pekerja harus sedar dan faham apakah yang dikatakan gangguan seksual di tempat kerja. Syarikat khususnya harus menyediakan satu polisi di dalam syarikat tentang anti-gangguan seksual. Mereka juga perlu diberikan contoh-contoh gangguan seksual yang boleh berlaku supaya mereka memahami sifat polisi. Polisi tersebut juga sepatutnya dapat menerangkan bahawa tindakan itu tidak akan diterima di syarikat tersebut, dan tidak akan membalas dendam terhadap seseorang yang telah membuat aduan mengenai gangguan tersebut.

2) Memberikan Informasi

Syarikat haruslah berusaha dalam memberi informasi yang cukup kepada pekerja-pekerja di dalam syarikat seperti:


   • Mengadakan seminar-seminar tahunan untuk mengkaji semula polisi gangguan seksual untuk memberi penerangan apakah yang dikatakan gangguan seksual dan apakah yang akan dilakukan jika seseorang telah, mendakwa telah diganggu secara seksual.
    Membuat satu mesyuarat untuk ,menerangkan polisi anti-gangguan seksual yang  wajib dihadiri semua kakitangan syarikat supaya semua orang dalam syarikat itu mampu untuk memahami polisi-polisi dan kesan akibat gangguan seksual.
   Penyelia latihan adalah sangat penting. Dalam banyak keadaan, individu-individu ini akan menjadi baris pertama perlindungan gangguan seksual. Mereka harus mahir dalam bagaimana untuk mengendalikan kes-kes gangguan seksual.

3) Sentiasa Peka Di Tempat Kerja

Syarikat khususnya bahagian sumber manusia harus peka dengan keadaan di tempat kerja. Sekiranya wujud sebarang kesangsian, tanya pekerja sama ada mereka mempunyai sebarang kebimbangan. Sekiranya ada apa-apa yang membuat perlakuan tersebut boleh ditafsirkan sebagai gangguan seksual sama ada dengan melihat atau mendengar maka syarikat harus segera mengambil tindakan sewajarnya jika gangguan seksual disyaki.

4) Mewujudkan Persekitaran Anti Gangguan Seksual

Apabila wujud kes-kes gangguan seksual di tempat kerja, syarikat harus mengendalikan dakwaan gangguan seksual dengan bijaksana dan terhormat tetapi tetap mengekalkan ketegasan dan keseriusan menangani masalah ini. Siasatan perlu sentiasa dikendalikan secara profesional dan tiada aduan yang akan diketepikan. Majikan sebenarnya boleh didakwa kerana gagal untuk menyiasat kes gangguan seksual dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Pastikan pekerja boleh berasa selamat dan selesa apabila mereka bekerja. 

5) Bertindak dengan yakin


Setiap wanita ataupun lelaki di tempat kerja haruslah  mempunyai sifat ketegasan dan keberanian, Ini adalah kerana individu yang lemah sering disasarkan sebagai mangsa. Sekiranya mereka tersebut berdepan dengan gangguan seksual, perkara pertama yang harus dilakukan adalah dengan bertindak dan bercakap dalam cara yang kuat dan yakin, Setiap individu haruslah mengelakkan diri mereka daripada banyak keadaan di mana gangguan seks mungkin boleh  berlaku. Biar semua orang di dalam syarikat tahu bahawa gangguan seksual tidak akan diterima. Jika seseorang membuat komen lucah, minta mereka untuk tidak berbuat demikian. Pastikan kedudukan pekerja mengenai perkara ini jelas.


6) Berpakaian dan bertindak sederhana

Ia adalah penting untuk memahami bahawa sesetengah orang meletakkan diri mereka di dalam masalah tanpa disedari, dalam keadaan yang boleh dipersoalkan. Mereka boleh ditafsirkan sebagai menggalakkan kepada gangguan seksual  dengan berpakaian atau bertindak secara tidak wajar. Contohnya,  berpakaian jarang dan mencolok mata ke tempat kerja sehingga mendedahkan tubuh badan adalah sangat tidak wajar. Sememangnya mangsa tetap tidak bersalah sekiranya gangguan seksual itu berlaku terhadap dirinya, tetapi ia adalah penting untuk menjauhkan diri pekerja sebanyak mungkin daripada situasi di mana tindakan tersebut boleh berlaku.

7) Bekerja dengan Syarikat Yang Sesuai

Pemilihan tempat kerja adalah sangat penting. Sekiranya pekerja terdedah dengan gangguan seksual dan pada masa yang sama pekerja mempunyai majikan yang tidak mengambil berat, sebaiknya pekerja meninggalkan syarikat itu. Ini adalah kerana sekiranya sesuatu berlaku, kemungkinan pekerja tidak akan mendapat sokongan  majikan adalah sangat tinggi. Selain itu, mereka digalakkan tidak mengekalkan hubungan dengan individu yang mereka berasa tidak selesa untuk bekerja bersama. Jauhkan diri daripada individu yang suka menggunakan perkataan dan tindakan yang bersifat seksual sebaliknya hanya berkawan dengan rakan-rakan yang boleh dipercayai dan dihargai.

LAMPIRAN








KESIMPULAN

Gangguan seksual tidak boleh dipersepsikan sebagai masalah peribadi dalam sesebuah organisasi. Masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan masa depan mangsa dan juga imej organisasi. Oleh itu adalah diharapkan kajian ini dapat memberi maklumat tentang siapa mangsa dan pelaku gangguan seksual, kefahaman mereka terhadap konsep ini dan bentuk-bentuk gangguan yang kerap dilakukan. Dengan ini, pihak-pihak yang berkuasa boleh menjadikannya sebagai landasan untuk mencari kaedah pencegahan kepada perlakuan gangguan seksual di tempat kerja.

RUJUKAN


  • Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22. 2005. Pelaksanaan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat. Diakses pada 15 Februari 2011 dari http:// www.eghrmis.gov.my/wp.../pekeliling/PP05/PP05Bil22/pp0522.pdf 15 1
  • Sabitha Marican dan Rusimah Sayuti. 2003. Persepsi Gangguan Seksual Di Institusi Pendidikan: Kejadian Dan Strategi Penyelesaian. http://www.ipbl.edu.my/inter/penyelidikan/seminarpapers/2003/sabithaUUMkk.pdf 
  • Gangguan  Seksual  Di  Tempat  Kerja:  Kajian  Ke  Atas Mangsa Dan Pelaku Di Sekitar Johor Bahru, Johor. Diakses pada 15 Februari 2011 dari http://www.eprints.utm.my/2702/1/71958.pdf 
  • Dr. Azizi Hj Yahaya et al. 2010. Gangguan Seksual Di Kalangan Pekerja Wanita Sektor Industri  Di  Johor  Bahru:  Sejauh  Manakah  Kebenarannya.  Diakses  pada  15 Februari 2011 dari http://www.eprints.utm.my/10419/1.pdf Ishak  bin  Mad  Shah  et  al.   2004.