Friday, 30 December 2016
JENIS-JENIS GANGGUAN SEKSUAL
Gangguan seksual di tempat kerja terbahagi kepada beberapa jenis menurut kod amalan. Antara jenis-jenis gangguan seksual adalah gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat, gangguan secara visual, gangguan secara psikologi dan gangguan secara fizikal. Gangguan secara lisan merujuk kepada kata-kata, komen, gurauan, usikan bunyi dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual. Gangguan secara lisan adalah satu permulaan gangguan seksual. Contohnya, pengganggu seksual sering memuji mangsa dengan menyatakan mangsa mempunyai tubuh badan yang cantik dan pengganggu tersebut mengaku bahawa dia tergoda. Ini secara tidak langsung berlakunya gangguan seksual secara lisan. Gangguan seksual juga boleh berlaku secara isyarat ataupun bukan lisan. Ia seperti pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkah laku mengurat yang berterusan. Contohnya, si pengganggu seksual akan sentiasa memandang mangsa sehinggakan mangsa berasa tidak selesa dengan keadaan tersebut. Gangguan seksual secara visual pula adalah seperti menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual dan mendedahkan bahagian bahan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah. Contohnya si pengganggu menghantar mesej-mesej, video-video ataupun gambarnya sendiri yang berunsur lucah ke telefon pintar mangsa. Hal tersebut mengakibatkan mangsa berasa tidak selamat dan mengganggu ketenteraman mangsa. Gangguan secara psikologi seperti mengulangi jemputan sosial yang telah tidak diterima dan memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan. Pengganggu akan terus merayu untuk keluar bersama sehingga mencapai apa yang di mahukan. Dan akhirnya jika mangsa sudah tiada alasan untuk menolak pelawaan tersebut perkara yang lebih buruk dan tidak diingini mungkin akan terjadi seperti mangsa berkemungkinan akan dicabul. Gangguan seksual yang terakhir adalah gangguan secara fizikal. Gangguan fizikal merupakan gangguan yang paling meninggalkan kesan terhadap mangsa. Antara jenis-jenis gangguan fizikal adalah sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan serangan seksual. Gangguan fizikal boleh berlaku secara tidak sedar, contohnya si pengganggu seksual tersebut dalam keadaan bergurau telah menampar dan mencubit mangsa. Mangsa mungkin tidak sedar dan menganggapnya sebagai satu gurauan semata-mata. Tetapi si pengganggu seksual akan berasa puas dan ingin menyentuh di bahagian lain pula sekiranya perbuatannya tidak di tegah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment